TEKNIK
A) TEKNIK PLOT
Secara umumnya boleh disimpulkan bahawa perkembangan plot utama novel Kabus di Perbukitan ini mengikut kronologi iaitu mengikut perkembangan masa secara teratur. Faridah terlibat dalam kemalangan jalan raya dan hilang selama dua minggu. Adik kembarnya Rahayu pula menghidap kanser. Mereka berjumpa di hospital tanpa bertentang mata. Faridah kehilangan Rahayu kemudian ibu dan suaminya. Dia tertekan dan berhijrah ke New Zealand dan berkahwin dengan Soleh Johnsons. 25 tahun kemudian, dia kembali ke kampung halamannya yang dirindui selama dia berada ni New Zealand. Anaknya Melina berkahwin dengan Benny dan berhijrah ke Malaysia. Begitu juga dengan Anne. Dia telah berkahwin dengan Zain yang berasal dari kampung yang sama dengan Faridah. Faridah kemudiannya menetap di Cameron Highland. Cuma terdapat beberapa bahagian kecil imbas kembali yang membolehkan pembaca mengetahui sejarah hidup Faridah.
Dalam novel Kabus di Perbukitan ini, terdapat beberapa teknik plot yang digunakan oleh pengarang menjadikan novel ini lebih menarik walaupun plotnya mengikut kronologi. Terdapat tiga teknik plot utama dalam novel ini. Teknik plot pertama yang dapat dikesan dalam novel ini adalah teknik imbas kembali. Pengarang meneritakan beberapa peristiwa kecil di beberapa tempat sepanjang plot novel ini. Antara teknik imbas kembali yang terdapat dalam novel ini ialah imbas kembali kisah pertemuan Mejar (B) Kamarudin dengan Salmah di Calet Seri Buana di Pengkalan Balak. Pertemuanini membawa mereka ke jinjang pelamin. Tidak lama kemudian Mejar (B) Kamarudin berkenalan dan berkahwin pula dengan Hamidah ketika bertugas di Pengkalan Hulu dan seterusnya mengambil Rahayu tinggal bersamanya. Selain daripada itu pengarang menggunakan teknik imbas kembali untuk menceritakan peristiwa pertemuan Salmah dengan Rahayu ketika Rahayu dihantar oleh Mejar (B) Kamarudin ke rumahnya. Rahayu ingin pulang dan merasai kehidupan dengan ibu yang selama ini dirinduinya. Tubuh Rahayu yang begitu kurus menambahkan lagi rasa sayu Salmah terhadap anaknya itu. Dia sedih dengan penderitaan yang dialami oleh Rahayu. Salmah juga menyediakan kuih ibu ketuk kegemaran Rahayu.
Pengarang juga menyelitkan sedikit teknik imbas muka dalam novel ini. Antaranya imbas muka yang dibayangkan oleh Faridah saat van yang dipandunya tidak dapat dikawal lagi dan akan terjunam ke dalam gaung. Dia membayangkan keadaan dan perasaan ibunya menerima jenazahnya nanti. Dia membayangkan perasaan ibunya penuh sayu. Demikian juga imbas muka yang dibayangkan oleh Rahayu semasa dia berada di hospital apabila dia mengetahui pesakit bersebelahan katilnya telah meninggal dunia. Apabila dia melihat katil di sebelahnya dikemaskan oleh jururawat, dia juga membayangkan katilnya akan dikemaskan demikian rupa suatu hari nanti. Semasa katilnya dikemaskan, orang di sebelah katilnya pula akan akan merasa seperti apa yang dia rasakan ketika itu. Imbas muka juga terdapat pada halaman 53 apabila Rahayu membayangkan hubungannya dengan Azrul. Rahayu membayangkan kepada Azrul bahawa cinta mereka akan menjadi kenangan yang indah bagi Azrul. Dia tidak akan mempu melalui semua sesi rawatan yang disediakan. Dia akan pergi juga pada satu hari nanti.
Selain daripada teknik di atas, pengarang juga menggunakan sedikit teknik suspens dalam novel ini. Pembaca berasa suspens dengan peristiwa kemalangan jalan raya yang dialami oleh Faridah kerana Faridah didapati hilang dan tidak dapat dijejaki oleh pesukan pencari dan penyelamat. Perasaan suspens juga dirasai oleh watak dalam novel seperti Ghazali, Sarjan Yusoff dan lain-lain. Pelbagai andaian telah dibuat tentang kehilangan Faridah dan Iqbal termasuklah kemungkinan angkara binatang buas dan komunis. Perasaan suspens terus dirasakan sehinggalah Faridah dan Iqbal ditemui oleh Mejar (B) Kamarudin di perkampungan orang Asli di Sungai Dua. Selain daripada itu pembaca juga berasa suspens terhadap pertemuan Rahayu dengan Faridah. Rahayu sedang menderita kerana kanser dan Faridah pula hilang di dalam hutan. Dalam keadaan itu, apakah mereka sempat bertemu sebelum Rahayu menghembuskan nafas terakhirnya. Persoalan itu terjawab apabila Rahayu dapat menatap wajah Faridah di hospital sebelum Rahayu meninggal dunia.
Teknik kejutan juga digunakan oleh pengarang dalam novel ini. Pengarang menggunakan teknik ini dalam persitiwa yang melibatkan Melina dan Benny. Satu kejutan apabila Benny meninggalkan rumahnya secara tiba-tiba setelah menerima satu email yang mengejutkan. Peristiwa itu membentuk satu anak plot dalam novel ini. Pembaca juga terkejut apabila mendapati Benny terlibat dengan kegiatan haram dan pengganas yang diwakili oleh Mohamed Attar. Dia melarikan diri dan akhirnya mendapat perlindungan kerajaan Dubai. Pembaca juga mengalami kejutan apabila Rahayu meninggal dunia di sisi Faridah. Pembaca berasa demikian kerana mereka tidak sempat bertemu dan melepaskan rindu yang sekian lama terpendam. Mereka hanya bertemu di alam psikik yang memberikan isyarat mereka akan berpisah. Pembaca tidak menyangka mereka akan berpisah begitu cepat seperti itu.
Satu lagi teknik menarik yang digunakan oleh pangarang dalam novel ini ialah teknik mimpi atau teknik bawah sedar. Teknik ini digarapkan oleh pengarang melalui watak Faridah. Melalui teknik ini pembaca didedahkan dengan kisah atau peristiwa semasa zaman penjajahan British di Tanah Melayu. Semasa Faridah dan Oqbal sesat di dalam hutan, mereka telah sampai ke Bukit Kutu dan bermalam di rumah Tuan Cecil Renking. Dia menikmati pemandangan dan suasana rumah percutian pegawai Inggeris di sana dengan keadaan dingin dan berkabus. Sebenarnya kawasan rumah rehat itu sudah ditinggalkan dan hanya terdapat tapak bangunan sahaja. Semasa Faridah berhalusinasi atau mengembara di bawah sedar juga, dia telah pergi ke pekan Sungai Kubu. Di situ Faridah telah menyaksikan aktiviti melombong dan mengangkut bijih timah serta aktiviti perniagaan yang dipelopori oleh kaum Cina dan Melayu. Dia juga dalam menyaksikan kegiatan penagihan candu dalam kalangan pelombong Cina.
B) TEKNIK PENCERITAAN
Sebagaimana novel konvensional yang lain, novel ini juga menggunakan taknik penceritaan yang yang utama iaitu teknik pemerian. Perlukisan latar, peristiwa termasuklah watak dan perwatakan telah dijelaskan oleh pengarang secara langsung. Contohnya sejak awal cerita pengarang telah menggambarkan perwatakan Rahayu sebagai seorang pelajar universiti. Dia bertungkus lumus menyiapkan tugasan yang sepatutnya dihantar pada sebelah paginya. Demikian juga gambaran latar tempat di Bukit Fraser dengan cuaca yang dingin dan berkabus pada waktu pagi. Burung-burung berterbangan dan monyet bergayutan pada pokok hutan. Kemudian pengarang menggambarkan keadaan yang menyebabkan van yang dipandu Faridah berpusing-pusing dan kemudian menjunam ke dalam gaung. Pengarang juga menceritakan tentang sejarah hidup Mejar (B) Kamarudin yang berkenalan dan berkahwin dengan Salmah. Kemudian dia berkahwin pula dengan Hamidah dan meninggalkan Salmah. Terdapat banyak lagi gambaran menggunakan teknik pemerian yang digunakan oleh pengarang dalam novel ini.
Selain daripada teknik pemerian, teknik dialog juga digunakan oleh penulis dengan meluas dalam karya mereka. Dalam novel ini pengarang telah menggunakan teknik ini dengan meluas untuk menggambarkan perasaan dan perwatakan seseorang. Contohnya melalui dialog antara Rahayu dengan Azrul. Melalui dialog itu pembaca mendapat gambaran tentang perwatakan mereka yang berhasrat untuk berdikari setelah menamatgkan pengajian kelak. Mereka bercadang untuk membuka perniagaan berasaskan pertanian bersama-sama. Selain daripada itu, dialog antara Melina dan Benny membolehkan pembaca mendapat gambaran tentang perwatakan Benny. Pembaca mendapat gambaran bahawa pegangan agama dalam diri Benny. Walaupun dia berketurunan Arab yang beragama Islam, tetapi keimanannya tidak kuat. Dia hanya terbiasa dengan makanan halal tetapi dia suka meminum minuman keras malah merasakan minuman itu lebih nikmat.
Dalam novel ini juga pengarang menggunakan sedikit teknik monolog. Monolog dalaman dapat diperhatikan dengan jelas pada halaman 12. Pada saat berlakunya kemalangan dan keretanya tidak dapat di kawal lagi, Faridah telah bermonolog dalam dirinya tentang nasib yang akan menimpa diri dan perasaan sedih ibunya semasa menerima jenazahnya nanti. Dalam monolog dalamannya Faridah memohon ampun daripada ibunya terhadap dosa selama ini. Dia juga memohon ampun daripada Allah dan bertawakal tentang nasib yang akan menimpanya. Dia redha menerima ketentuan-Nya. Pada halaman 118 Faridah sekali lagi bermonolog dalam dirinya setelah bangkit dari tidur. Dia bermimpi tentang kehadiran Ayu dengan wajah yang jernih menggamit ibunya. Dalam monolog dalaman semasa memulakan solat, dia berserah dirinya kepada Allah dan menerima segala ketentuan-Nya. Manakala monolog luaran dapat diperhatikan oleh pembaca pada halaman 119. Selepas solat Subuh Faridah ke dapur untuk memasak nasi lemak dan sambal bilis kegemaran ibunya. Faridah bermonolog apabila mendapati ibunya lewan bangun, “Lewat mak bangun, selalunya tidak begini.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan