Khamis, 23 Januari 2014

Kabus di Perbukitan

TEMA

Novel kabus di Perbukitan bertemakan kemanusiaan iaitu hubungan kasih sayang antara ahli keluarga.  Novel ini  mengungkapkan kisah keluarga yang dapat dibahagikan kepada dua zaman. Faridah sebagai watak utama telah melalui kedua-dua zaman itu. Zaman yang pertama adalah zaman remajanya. Pada zaman ini dia telah kehilangan kasih sayang daripada ahli keluarganya. Sejak kecil dia telah kehilangan kasih sayang seorang ayah.  Dia ditinggalkan oleh ayahnya Mejar (B) Kamarudin setelah ayahnya berkahwin dengan Hamidah. Sejak itu dia tidak bertemu dengan ayahnya hinggalah dia ditimpa kecelakaan di Bukit Fraser. Selain daripada itu Faridah juga telah terpisah daripada adik kembarnya Rahayu. Mejar (B) Kamarudin telah membawa Rahayu untuk tinggal bersamanya. Faridah tidak dapat merasakan kasih sayang daripada adik beradik.

Selain daripada disipahkan oleh jarak dan sama, faridak juga telah dipisahkan daripada Rahayu oleh maut. Walaupun telah berpisah, namun pada saat-saat akhir hidup Rahayu, mereka dapat berhubung melalui alam bawah sedar. Faridah meminta pertolongan daripada Rahayu agar mengeluarkannya dari Bukit Kutu semasa Faridah hilang. Pada akhir pertemuan mereka, Rahayu menayu kepada Faridah agar Faridah kembali dan dia terpaksa pergi. Pemergian Rahayu untuk selama-lamanya telah membuatkan Faridah amat sedih. Selain daripada Faridah, ibunya Salmah juga merasakan kehilangan Rahayu. Dia hanya dapat merasakan kasih sayang Rahayu hanya seketika.  Oleh kerana perasaan sayang yang tidak dapat digambarkan kepada Rahayu, Salmah amat merindui Rahayu setelah Rahayu meninggal. Salmah selalu menziarahi kubur Rahayu. Kadang-kadang sehingga dua kali sehari.

Selepas Faridah berkahwin dengan Ghazali, Faridah tetap tinggal di rumah ibunya kerana tidak sanggup meninggalkan ibunya yangsedang sakit seorang diri. Ibunya meninggal tidak lama kemudian. Diikuti pula oleh suaminya Ghazali akibat daripada kemalangan jalan raya. Sekali lagi Faridah kehilangan kasih sayang hingga menyebabkan dia rasa amat sedih dan tertekan.  Dia telah membawa diri ke New Zealand. Bermula daripada penghijrahan itu, Faridah telah melalui fasa kedua dalam hidupnya. Dia mendapat kembali kasih sayang seletah berkahwin dengan Soleh Johnsons dan dikurniakan dua orang anak. Faridah hidup bahagia. Dia juga bertemu dengan Datuk Azrul, bekas kekasih Rahayu apabila anaknya Anne bertemu jodoh dengan anak Datuk Azrul, Zain. Hasil daripada hubungan itu Faridah telah kembali ke Malaysia dan hidup dengan gembira.  






PERSOALAN

Antara persoalan yang diselitkan oleh penulis adalah persoalan perpecahan keluarga yang telah menyebabkan ahli keluarga kehilangan kasih sayang dan menderita. Perpecahan keluarga dapat dilihat dengan jelas pada awal novel ini. Ayah dan ibu Faridah telah berpisah setelah ayahnya berkahwin dengan Hamidah. Malah ayahnya telah membawa saudara kembar Faridah iaitu Rahayu. Selain daripada kehilangan kasih sayang seorang anak, ibu Faridah iaitu Salmah juga telah menderita. Dia terpaksa berusaha sendiri untuk hidup dan membesarkan Faridah tanpa bantuan daripada sesiapa. Dia bergantung hidup pada tanah sawah yang dikerjakan seorang diri sehingga dia meninggal dunia. Penderitaan itu menyebabkan Faridah tidak  begitu menghargai ayahnya. Ketika pulang ke Malaysia, dia dimaklumkan oleh Datuk Azrul bahawa ayahnya masih hidup. Namun dia tidak berminat untuk menemui ayahnya. Manakala Rahayu pula teramat rindukan ibunya dan  mahu hidup bersama ibunya pada akhir hayatnya.         

Selain daripada itu, novel ini juga menggarapkan persoalan cinta antara dua remaja. Persoalan ini digambarkan melalui watak Rahayu dan Azrul. Mereka menuntut di universiti dan jurusan yang sama telah berjanji untuk hidup bersama. Selain dairpada itu mereka juga mempunyai cita-cita bersama iaiatu mengusahakan perniagaan yang berasaskan pertanian setelah tamat pengajian. Keadaan itu menunjukkan mereka sefahaman. Namun percintaa mereka tidak sampai ke penghujung. Rahayu menghidap kanser dan meninggal dunia. Pun begitu cinta Azrul kepada Rahayu tidak mati. Dia meneruskan cita-cita mereka berdua sehingga berjaya dan bergelar datuk.  Selain daripada itu, watak lain yang menjalin cinta dalam novel ini ialah Benny dengan Melina, anak kepada Faridah. Percintaan mereka begitu pantas dan mereka mendidikan rumahtangga. Manakala Zain, anak kepada Datuk Azrul pula bercinta dengan saudara kembar Melina iaitu Anne. Percintaan mereka juga sampai ke penghujung apabila mereka berkahwin dan hidup bahagia.    

Persoalan lain yang tidak kurang penting dalam novel Kabus di Perbukitan adalah persoalan kahwin campur. Kahwin campur dalam novel ini bermula daripada  perkahwinan antara Faridah dengan Soleh Johnsons. Perkahwinan ini berlaku akibat daripada penghijrahan Faridah ke New Zealand setelah semua orang yang  disayangi meninggal dunia. Dia berasa sediah dan tertekan. Di New Zealand dia telah berkenalan dengan Soleh Johnsons, seorang warga New Zealand dan berkahwin. Faridah hidup bahagia dan dikurniakan dua orang anak kembar iaitu Melina dan Anne. Melina kemudiannya berkenalan dengan Jabbar an-Anbia ( Benny ) seorang berketurunan Arab yang berasal dari Dubai.  Cinta mereka berputik dan mereka telah berkahwin. Manakala Anne yang berdarah campuran Melayu dan mat salih telah bertemu jodoh dengan seorang Melayu tulen iaitu Zain, anak kepada Datuk Azrul. Perkahwinan mereka dianggap sebagai perkahwinan dua negara.

Pengarang  juga mengungkapkan persoalan cita-cita dan masa depan selepas menamatkan pengajian.  Contoh yang paling baik untuk dijajikan panduan ialah watak Azrul.  Sejak masih belajar bersama Rahayu, mereka telah memasang cita-cita tentang kerjaya dan masa depan mereka setelah menamatkan pengajian kelak. Mereka sepakat untuk tidak mahu mengharapkan pekerjaan makan gaji. Sebaliknya mereka lebih berminat dengan kerjaya dalam perniagaan yang berasaskan pertanian. Ia bersesuaian dengan bidang pengajian mereka dalam bidang pertanian. Walaupun Rahayu meninggal dunia, namun Azrul tidak berputus asa. Dia tetap meneruskan cita-citanya sebagaimana juga yang diinginkan oleh Rahayu sebelum meninggal dunia. Hasilnya, selepas 25 tahun, Azrul telah berjaya sebagai peladang dan dianugerahkan gelaran datuk.                     

Sebahagian bersar watak dalam novel ini juga telah mendokong persoalan perkembangan dan kemajuan dalam bidang pertanian. Pada awal novel ini pembaca mengenali Salmah yang mengusahakan sawah dengan tulang empat kerat yang hanya dapat menampung kehidupannya bersama Faridah. Namun pada masa yang sama dua orang anak muda iaitu  Rahayu dan Azrul  telah memasang cita-cita  untuk bergiat mahu dalam bidang pertanian. Mereka ingin membuka perniagaan yang erasaskan pertanian.  Walaupun Rahayu telah tiada, Azrul meneruskan cita-cita itu dengan menternak kambing. Usahanya berjaya malah dia telah membangunkan sektor pertanian di kawasan. Jasanya kepada masyarakat menyebabkan dia dianugerahkan gelaran datuk. Demikian juga anaknya Zain yang telah menuntut dalam bidang pertanian. Zain telah menurut jejak langkahnya dengan mewarisi lading biri-biri daripada Soleh Johnsons. 

Watak Malina dan Benny telah menggambarkan persoalan pegangan agama yang longgar dalam masyarakat Islam pada hari ini. Keadaan ini wujud kerana ramai penganut Islam pada hari ini menganut Islam kerana keturunannya, bukannya daripada kesedaran dan mendalam dan keimanan tentang agama Islam. Melina mewarisi agama Islam daripada ibunya Faridah dan ayahnya yang memeluk agama Islam iaitu Soleh. Dia juga hidup bebas menyebabkan pengaruh persekitaran meresapi jiwanya. Melina digambarkan meminum minuman keras dengan alasan untuk memanaskan badan. Begitu juga dengan Benny. Dalam soal makanan, dia memilih makanan halal. Namun dia suka kepada minuman keras. Dia tidak dapat memberikan asalan yang kukuh kenapa dia berbuat demikian. Malah dia sendiri mengakui bahawa imannya tipis dan dia lalai dalam menunaikan tuntutan agama Islam.

Cerita dalam novel ini juga telah menggambarkan persoalan penghijrahan untuk mendapatkan kebahagian hidup. Bermula daripada Faridah yang telah berhijrah ke New Zealand. Semasa berangkat ke sana, dia telah merasakan bahawa dia tidak akan kembali lagi ke kampung halamannya. Di New Zealand dia telah bertemu dengan Soleh Johnsons dan telah berkahwin. Dia akhirnya bahagia dan dikurniakan dua orang anak kembar. Benny yang suka belayar akhirnya telah berhijrah dan memilih untuk bekerja di Malaysia setalah bertemu jodoh dengan Melina. Dia cuba menjalani hidup senagai seorang suami yang bertanggungjawab. Mereka mendapat kebahagiaan dan telah mengenepikan hobinya yang suka belayar. Faridah dan Soleh juga akhirnya telah berhijrah ke Malaysia dan tinggal di Cameron Highland. Dia hidup bahagia di samping kenangan silam. Demikian juga dengan Melina yang telah berhijrah ke Dubai untuk hidup bahagia bersama suaminya Benny.

Pengarang juga menyelitkan persoalan jihad dalam mendaulatkan agama Islam melalui watak Benny dan Mohamed Attar. Mohamed Attar telah berusaha untuk mendapatkan sokongan daripada Benny dan tokoh-tokoh agama di negara ini untuk sama-sama berjuang menegakkan kedaulatan agama Islam. Dia menanamkan semangat untuk berjuang menentang musuh-musuh Islam yang seperti di Palestin dan Iraq. Benny telah mengikut Mohamed Attar untuk bertemu dengan Ustaz Hassan Syukri. Mereka ingin mengatahui pandangan Ustaz Hasaan Syukri tentang perjuangan mereka. Namun Ustaz Hasaan Syukri lebih besederhana. Mohamed Attar nekad untuk meneruskan niatnya. Namun dia betindak lebih berani dengan berjuang secara mengangkat senjata. Dia nekad untuk meletupkan beberapa kepentingan Barat untuk melumpuhkan ekonomi negara tersebut. Malangnya dia telah ditangkap oleh polis antarabangsa.

Persoalan dalam novel ini juga berkaitan dengan ekonomi negara Malaysia iaitu persoalan pengambilan pekerja asing dalam bidang pertanian atau perladangan. Hal ini kerana belia tempatan tidak lagi berminat untuk bekerja dalam sektor tersebut. Mereka lebih suka berhijrah ke Bandar menyebabkan kebun dan tanah di kampung banyakyang terbiar. Bagi mengatasi masalah tersebut. Datuk Azrul berusaha untuk mendapatkan permit untuk beberapa orang pekerja asing untuk bekerja di ladangnya.  Walaupun Zain tidak berapa setuju dengan pendekatan itu, namun keadaan telah memaksa pengusaha lading seperti Datuk Azrul berbuat demikian. Tanpa pekerja asing, urusan kerja ladang tidak dapat disempurnakan. Demikian juga ketika dia mengusahakan  projek agropelancongan di Lojing. Mereka juga mendapatkan tenaga kerja asing untuk melakukan kerja-kerja kasar terutamanya pada tahap permulaan projek tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan