Khamis, 23 Januari 2014

latar tempat , masa dan masyarakat ( Kabus di perbukitan )

LATAR


A) LATAR TEMPAT

Secara umumnya sebagaian besar peristiwa dalam novel ini berlaku di beberapa tempat di semenanjung Malaysia. Tempat yang utama ialah Sungai Besar di Selangor. Sungai Besar merupakan kampung halaman Faridah dan ibunya Salmah. Di situ Faridah dibesarkan oleh ibunya Salmah hingga dewasa. Di tempat itu juga dia telah terpisah dengan adik kembarnya Rahayu kerana telah diambil oleh ayahnya dan dibawa ke Indonesia semasa ayahnya bertugas di sana. Bebarapa peristiwa berlaku di sini termasuklah kepulangan Rahayu dalam keadaan sakit selama beberapa hari untuk hidup bersama ibunya Salmah. Salmah pula menderita setelah Rahayu meninggal dan sering melawat kubur Rahayu sehingga dua kali sehari. Tidak berapa lama, Salmah meninggal di tempat ini diikuti oleh suami Faridah iaitu Ghazali. Selepas kematian itu Faridah telah meninggalka kampung halaman ini. Dia merantau ke New Zealand  selama dua puluh lima tahun. Faridah kembali semula ke Sungai Besar apabila anaknya Anne bertemu jodoh dengan anak Azrul.

Peristiwa penting juga berlaku di Bukit Fraser. Faridah terlibat dengan satu program bersama dengan anak-anak istimewa. Faridah memandu van dari tempat penginapannya menuju ke Raub. Semasa memandu dia telah dikejutkan oleh Iqbal yang menaiki van itu tanpa pengetahuanna. Brek ditekan tiba-tiba dan van yang dipandunya berputar dan menjunam ke dalam gaung. Satu perkara yang pelik ialah Faridah dan Iqbal hilang tanpa dapat dikesan. Ayah Faridah iaitu Mejar (B) Kamarudin telah tiba ke tempat ini setelah dimaklumkan tentang kehilangan Faridah. Pasukan penyelamat telah mengambil masa selama dua minggu untuk mengesan dan mencari mereka. Akhirnya mereka gagal dan membuat keputusan untuk menghentikan operasi. Namun siasatan akan diteruskan dan kes itu diklasifikasikan sebagai kes orang  hilang.

Penulis novel ini juga menggambarkan keadaan dan suasana Bukit Tuku semasa era kolonial. Ia digambarkan melalui halusinasi Faridah semasa dia sesat selepas kemalangan yang berlaku. Dalam keadaan perjalanan yang tidak tentu haluan itu Faridah telah berhalusinasi tentang dirinya yang berada di Bukit Tuku. Ia merupakan salah satu kawasan tanah tinggi yang menjadi tempat penjajah Inggeris mendirikan rumah rehat dan menghabiskan masa cuti di situ. Faridah terjaga pada waktu pagi dan mendapati dirinya dan Iqbal berada dalam sebuah bilik. Dia dijemput untuk minum bersana Tuan Cecil Renking. Keadaan pada pagi itu berkabus dan dingin. Berdasarkan gambaran Tuan Cecil Renking, di Bukit Tuku terdapat beberapa buah rumah penginapan dan terdapat sebuah kolam renang. Semasa Mejar (B) Kamarudin dan Buyung tiba di situ, mereka hanya mendapati tapak bangunan tinggalan penjajah.

Latar tempat beralih pula ke pekan Sungai Kubu. Tempat ini juga muncul dalam novel melalui halusinasi Faridah semasa dia masih sesat di hutan. Di tempat ini dia masih lagi berada pada era colonial. Dia bersama orang gaji Tuan Cecil Renking iaitu Siti Amat keluar ke pekan. Pengarang menggambarkan latar pekan Sungai Kubu  melalui sudut pandangan Faridah. Faridah dapat melihat hanya dua belas buah kedai. Empat daripadanya kepunyaan orang melayu Rawa dan Mandailing. Selebihnya kepunyaan kaun Cina. Faridah juga dapat melihat urusan pengumpulan dan pengeluaran bijih timah melalui jalan sungai. Cukai dikenakan untuk bijih yang dikeluarkan. Faridah juga dapat melihat pelombong-pelombong Cina menghisap candu. Pengarang juga menggambarkan Tuan Cecil Renking membunuh buaya yang mengganas dan pernah membaham anak Induk Bertuah.

Faridah sesat dan berjalan bersama Iqbal hingga ke Sungai Dua. Di situ terdapat sebuah perkampungan orang Asli. Faridah dan Iqbal telah diselamatkan oleh orang Asli dan tinggal di rumah Tok Batin Senik. Di situ Faridah telah koma kerana kepalanya terhantuk pada batu di tepi sungai. Melaui racauan Rayahu, Faridah kelihatan sedang mandi di sungai di kampung berkenaan. Gambaran itu mendaji panduan kepada Mejar (B) Kamarudin pergi ke perkampungan tersebut untuk mencari Faridah. Bantuan helikopter sampai dua jam kemudian dan Faridah serta Iqbal dibawa keluar. Mereka terus dibawa ke hospital.

Hospital Kuala Lumpur merupakan satu lagi latar tempat yang tidak kurang pentingnya dalam  novel ini. Di situlah tempat pertemuan Faridah dan Rahayu sejak mereka berpisah ketika berumur tujuh tahun. Faridah yang koma di bawa ke hospital dan Rahayu menemuinya di situ. Mereka juga dapat bertemu dalam alam psikik mereka apabila Rahayu memegang erat tangan Faridah. Dalam pertemuan itu Rahayu merayu Faridah pulang untuk bersama ibu mereka kerana sudah sampai masanya untuk dia pergi. Serentak dengan itu Faridah sedar dan menjerit menyebut nama Rahayu. Manakala jururawat mendapati rahayu telah meninggal dunia.

Selepas 25 tahun, latar tempat berpindah ke New Zealand. Faridah telah berhijrah ke sana setelah suaminya Ghazali meinggal. Di sana Faridah telah berkahwin dengan Soleh Johnsons dan dikurnaiakan dua orang anak iaitu Melina dan Anne. Mereka tinggal di Rosewood di daerah Christchurch. Terdapat ladang ternak biri-biri yang diusahakan oleh Soleh Johnsons. Zain pernah bekerja di ladang itu secara sambilan ketika musim cuti semester. Antara peristiwa penting di situ ialah perkenalan antara Zain dengan Anne. Perkenalan itu membawa kepada perkahwinan. Zain yang juga berasal dari kampung yang sama dengan Faridah membolehkan Faridah melawat kampung halamannya di Sungai Besar semasa majlis perkahwinan. Melida pula berhijrah ke Auckland dan berkenalan dengan Benny. Mereka juga telah berkahwin dan Melina telah berhijrah ke Malaysia mengikut suaminya bekerja di syarikat minyak di Marang, Terengganu.

Latar tempat yang terakhir dalam novel ini ialah Cameron Highland. Faridah dan Soleh Jonhsons menginap di situ dan menunggu rombongan keluarga Zain untuk berbincang tentang perkahwinan Anne. Pertemuan dengan keluarga Zain telah membuatkan kenangan lalu datang kembali dalam ingatan Faridah apabila mengetahui bapa Zain iaitu Datuk Azrul adalah bekas kekasih Rahayu. Faridah meluahkan perasaannya rindunya pada kampung halaman kepada Datuk Azrul. Solah Jonhsons kemudiannya membeli rumah di Cameron Highland dan tinggal di situ. Soleh dan Datuk Azrul bekerjasama mengusahakan projek agropelancongan di Tanah Tinggi Lojing berhampiran Tanah Tinggi Cameron.




B) LATAR MASA

Terdapat tiga zaman yang  jelas dalam novel. Jika diperhatikan mengikut urutan masa, pembaca dapat mengesan latar zaman kolonial atau zaman pemerintahan penjahah British di negara ini. Zaman ini digambarkan oleh pengarang melalui teknik halusinasi watak Faridah ketika dia dan Iqbal sesat di dalam hutan. Faridah sesat dan berhalusinasi hingga ke Bukit Kutu. Di sana Faridah dapat melihat kehidupan pegawai British pada tahun-tahun 1990-an. Pada masa itu pegawai-pegawai British suka menghabiskan masa di tempat peranginan yang berhawa sejuk yang tidak jauh bezanya daripada negara mereka. Faridah dapat melihat kehidupan salah seorang pegawai British iaitu Tuan Cecil Renking di rumah tumpangannya di Bukit Kubu. Bentuk rumah dan susunan perabot sememangnya mengikut reka bentuk dan susunan Inggeris. Selain daripada itu, Faridah juga dapat menyaksikan kegiatan ekonomi pada era 1900-an. Antara aktiviti ekonomi utama pada masa penjajah ialah aktiviti perlombongan bijih timah dan perniagaan runcit. Dalam halusinasi itu juga Faridah telah berkunjung ke pekan Sungai Kubu. Faridah dapat melihat pekerja-pekerja lombong yang ketagih andu dan kerja-kerja memunggah bijih melalui jalan sungai.

Berdasarkan perkembangan watak Faridah, pembaca juga dapat mengesan pembahagian masa atau zaman dengan jelas. Bahagian pertama ialah zaman 25 tahun yang lampau. Pada masa itu Faridah merupakan seorang remaja bersama adik kembarnya Rahayu dan Azrul yang masih menuntut di universiti. Antara perstiwa penting pada zaman itu ialah peristiwa kehilangan Faridah setelah kemalangan berlaku di Bukit Fraser. Manakala adik kembar Faridah iaitu Rahayu pula menghidap penyakit kanser. Dua peristiwa itu telah menemukan kembali dua beradik kembar yang telah berpisah sejak berumur tujuh tahun. Namun mereka tidak sempat bertentang mata kerana Rahayu menemui Faridah di hospital dalam keadaan koma. Dua saudara kembar itu hanya sempat bertemu dalam alam psikik mereka. Rahayu merayu kakaknya Faridah pulang kerana sudah sampai masanya dia akan pergi meninggalkan ibu. Selepas itu Faridah telah sedar dan menyaksikan Rahayu dan sudah m eninggal di sisinya. Pada masa ini juga Faridah menyaksikan penderitaan ibunya yang sakit dan rindukan Rahayu. Dia menjaga ibunya Salmah hingga ibunya meninggal ketika dia mengejutkan ibunya untuk solat Subuh. Tidak lama kemudian suaminya Ghazali pula meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Faridah sebatang kara dan berhijrah ke New Zealand.

Pada bahagian kedua novel ini memaparkan peristiwa yang berlaku pada zaman kedua iaitu selepas 25 tahun  Faridah berhijrah ke New Zealand. Antara peristiwa penting pada bahagian kedua ini ialah peristiwa perkenalan anak Faridah iaitu Melina dengan Benny. Mereka kemudiannya berhijrah ke Malaysia kerana Benny bertugas di sebuah syarikat keluarga yang berpejabat di Terengganu. Perkenalan dan perkahwinan adik kembar Melina iaitu Anne dengan Zain telah mengubat rindu Faridah pada kampung halaman setelah 25 tahun berlalu. Zain yang berasal dari kampung yang sama dengannya telah memberi kesempatan untuk Faridah melawat kampung halaman dan rumah yang telah 25 tahun ditinggalkannya. Akhirnya Faridah dan suaminya Soleh Johnsons membuat keputusan untuk menetap di Cameron Highland. Mereka membeli rumah di situ. Soleh Johnsons berkerjasama dengan Datuk Azrul untuk mengusahakan projek agropelancongan di Tanah Tinggi Lojing.



C) LATAR MASYARAKAT        

Pada umumnya masyarakat yang melatari novel ini ialah masyarakat Melayu yang hidup di perkampungan atau luar bandar.  Mereka diwakili oleh watak utama iaitu Faridah dan ibunya Salmah serta Azrul. Salmah menyara hidupnya bersama Faridah dengan mengerjakan sawah padi. Salmah terpaksa berdikari setelah dia ditinggalkan oleh Mejar (B) Kamarudin telah telah berkahwin dengan wanita lain. Salmah mengerjakan tanah sawah itu hingga ke akhir hayatnya dengan dibantu oleh Faridah. Berlainan dengan Azrul yang mendapat pendidikan tinggi. Dia memilih untuk menjadi petani setelah menamatkan pengajian. Dia memulakan usaha menternak kambing. Hasil usaha gigihnya dia dapat memajukan bidang pertanian di kampungnya hingga dia dianugerahkan sebagai peladang jaya dan gelaran datuk.

Selain daripada itu, terdapat juga masyarakat asing iaitu masyarakat Inggeris. Masyarakat ini terbahagi  kepada dua golongan iaitu masyarakat Inggeris yang terdiri daripada orang British yang diwakili oleh Tuan Cecil Renking. Golongan ini hadir dalam novel melalui halusinasi Faridah semasa dia sesat di dalam hutan. Golongan ini datang dan menjajah serta mentadbir negara ini. Selain daripada itu mereka mengambil hasil bumi seperti bijih timah. Mereka juga mendirikan rumah penginapan di kawasan tanah tinggi seperti di Bukit Kutu untuk dijadikan tempat rehat. Golongan kedua pula ialah masyarakat Inggeris yang tinggal di New Zealand. Golongan ini diwakili oleh Soleh Johnsons, suami kepada Faridah. Sebahagian mereka beragama Islam termasuk Soleh Johnsons. Dia mengusahakan lading ternak biri-biri dan membekalkan daging halal untuk dieksport.

Penulis juga menggambarkan masyarakat Arab dari Asia Barat. Ia diwakili oleh  Benny, suami kepada Melina. Bumi mereka kaya dengan minyak. Benny merupakan salah seorang daripada keluarga kaya yang mempunyai syarikat minyak yang mempunyai rangakain perniagaan hingga ke Malaysia. Benny ditugaskan sebagai pagawai operasi di Terengganu. Namun Benny dipengaruhi oleh kehidupan yang mewah sehingga mengabaikan agama. Masyarakat ini juga mempunyai semangat juang dan jihad yang tinggi dalam membela agama Islam. Ia diwakili oleh Mohamed Attar yang cuba mempengaruhi Benny untuk turut sama berjihad. Mereka merancang untuk melumpuhkan ekonomi Amerika Syarikat dengan meletupkan bangunan yang menjadi kepentingan negara tersebut. Mohamed Attar ditangkap kerana perbuatan tersebut merupakan perbuatan jenayah dan ganas.

Terdapat sedikit gambaran masyarakat orang Asli suku Temuan yang hidup di kawasan pedalaman. Kehidupan masyarakat mereka digambarkan semasa Faridah dan Iqbal sesat di dalam hutan selepas kemalangan di Bukit Fraser. Mereka membuka sebuah perkampungan di  tebing sungai di Sungai Dua yang diketuai oleh Tuk Batin Senik. Mereka tidak biasa dengan orang luar. Beberapa ekor anjing digambarkan berkeliaran di kawasan perumahan mereka. Rumah-rumah mereka rapat-rapat dan kecil diperbuat daripada anyaman buluh.  Cuma rumah Tuk Batin Senik sahaja yang diperbuat daripada kayu yang kukuh dan beratap zink. Rumah itu juga terdapat saluran Astro yang menggunakan kuasa solar. Mereka telah menyelamatkan Faridah dan Iqbal yang didapati merayau-rayau di Sungai Dua.

Manakala Rahayu, Azrul, Anne dan Zain pula menggambarkan masyarakat pelajar pusat pengajian tinggi. Pada 25 tahun sebelumnya, Rahayu dan Azrul merupakan pelajar UPM. Mereka mengikut kursus yang sama dan sentiasa bersama termasuklah ketika mengulangkaji di perpustakaan. Pengajian Rahayu terbantut setelah dia disahkan menghidap kanser. Azrul meneruskan pengajian hingga tamat. Selepas 25 tahun berlalu, Datuk Azrul menghantar anaknya Zain untuk belajar di New Zealand dalam bidang pertanian. Zain bertemu dengan anak Faridah iaitu Anne yang belajar di universiti yang sama.

Dari sudut kemasyarakatan pula, novel ini menggambarkan beberapa ciri masyarakatnya. Antara lain ialah gambaran masyarakat yang penyayang kepada keluarga. Bermula daripada Faridah yang sayangkan ibunya sehingga tidak mahu berpisah walaupun telah bersuami. Suaminya Ghazali terpaksa berulang-alik dua atau tiga hari sekali dari tempat kerjanya ke rumah ibu Faridah. Salmah juga sayang kepada adik kembar kepada Faridah sehingga dia bergitu sedih dengan kematian Rahayu.  Tambahan pula Rahayu telah berpisah dengannya sejak umur tujuh tahun. Manakala Mejar (B) Kamarudin juga sayangkan anak-anaknya termasuk Faridah yang telah lama ditinggalkan bersama Salmah. Dia berusaha mencari Faridah setelah usaha pihak pencari dan penyelamat gagal. Dia telah meredah hutan bersama Buyung sehingga menemui Faridak di perkampungan orang Asli.

Terdapat juga masyarakat yang bekerjasama dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul. Sifat ini jelas digambarkan semasa kehilangan Faridah di Bukit Fraser selepas van yang dipandunya terbabas dan tajuh ke dalam gaung. Pelbagai pihak datang mamberikan bantuan termasuklah penduduk kampung. Selain daripada itu sifat ini juga digambarkan oleh watak Buyung yang bekerja di Jabatan Perhutanan. Dia memberikan kerjasama yang baik kepada Mejar (B) Kamaruddin untuk mengesan Faridah di Bukit Kutu dan perkampungan orang Asli di Sungai Dua. Tambahan pula mereka saling mengenali dan kedua-duanya adalah pesara tentera.

Watak utama dalam novel ini pula menggambarkan masyarakat yang tabah dalam menempuh dugaan hidup. Bermula daripada kehidupan yang sukar di kampung setelah ditinggalkan oleh ayahnya Mejar (B) Kamarudin hinggalah kepada kematian seluruh anggota keluarganya. Faridah melalui kehidupannya berasama ibu dengan mengerjakan sawah untuk menyara hidup mereka. Dia juga tabah menjaga ibunya yang semakin uzur sehingga ibunya meninggal. Dia juga tabah menerima kematian suaminya Ghazali akibat kemalangan jalan raya. Ketabahan itu membuahkan hasil apabila dia berhijrah dan mendapat kebahagiaan bersama suami keduanya Soleh Johnsons di New Zealand. Demikian juga dengan Melina. Dia tabah menghadapi dugaan apabila suaminya Benny hilang. Pada masa yang sama dia memandu sendiri dalam keadaan sarat mengandung untuk berjumpa dengan ibunya di Cameron Highland.

Terdapat juga beberapa watak yang menggambarkan masyarakat yang berdikari. Mereka termasuklah Azrul dan Rahayu. Mereka tidak mengharapkan pekerjaan dalam sector awan apabila tamat pengajian. Mereka merancang untuk memulakan perniagaan yang berasaskan pertanian. Walaupun Rahayu meninggal, Azrul tetap meneruskan usaha berkenaan. Dia memulakan usaha menternak kambing sehingga dia berjaya dan dinugerahkan sebagai peladang jaya dan gelaran datuk. Malah dia juga mendidik anaknya Zain agar turut berkecimpung dalam bidang pertanian. Zain kemudiannya menguruskan lading ternak biri-biri kepunyaan Soleh Jonhsons setelah berkahwin dengan Anne. Demikian juga dengan Salmah. Dia berdikari untuk hidup setelah ditinggalkan oleh suaminya Mejar (B) Kamarudin sambil membesarkan Faridah. Dia bekerja di sawah dengan dibantu oleh Faridah untuk menyara hidup.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan